Wednesday, 12 October 2011

Heli Pad ..LP..LZ ..!

Dalam siri yang lopeh Den bercerito pasal MADEVAC, yang mano biasanya tidak semudah nak dilaksanakan sebagaimana mudahnya nak menceritakan. Sebelum Den bercerito panjang Den nak beri takrifan dulu fasal takut ado yg tak dapek tangkap cerito Den ini nanti . MADEVAC ini dalam bahaso mudah adolah MEDICAL EVACUATION , dibawa keluar atas dasar sakit, kesihatan terganggu dan sebagainya. Kalau CASEVAC ...maksudnya CASUALTY EVACUTION, ini biasonya kalau tercedera semasa bertempur ke, terpijak jerangkap samar ke..dan ado yang kono parang pun dikategorikan sebagi CASEVAC...dan kalau BODYBAG..ini maksudnya ...bawak keluar jenazah laa..huhu sebonarnya tak ado istilah ini sajo Den buek..


Apo pun pada dasarnya  kadang-kadang agak sukar sebagai “Commander On the Ground “..nak buat keputusan sama ada seseorang itu perlu di buat MADEVAC atau tidak. Ini adalah kerana semasa di dalam operasi biasanya anggota medik yang ada adalah berpangkat Kpl sahaja. Bukanlah Den nak merendahkan  anggota medik ini, tapi biasanya mereka agak sukar atau tidak berani nak mengatakan status “kesihatan” seseorang itu sama ada perlu di hantar keluar atau tidak. Nak-nak pulak ada jugak askar geng  tetuang dan penipu tentuang serta yang geng tak boleh duduk lamo dalam hutan..ado ajo helah nak keluar dari kawasan operasi..

Ado yang domam paneh, cirit birit, sakit lutut dan bermacam-macam-macam penyakit lagi. Ado jugak yang ngaku kono buasir, dan tak leh nak berjalan lagi ,lalu minta untuk di MADEVAC. Ado jugak yang ‘slow talk’ dengan komander, nak keluar awal atas sebab peribadi...dan alasan yang diberi untuk anggota tersebut dibawa keluar adalah.....”mental stresss”....tak sesuai untuk meneruskan operasi...Orang di luar bukan tahu sangat, kalau ada request untuk MADEVAC biasanya akan diluluskan kerana nak menjaga moral anggota yang di dalam. Kalau ada  anggota yang berpakat dengan komander untuk keluar awal , dio orang tak leh nak pastikan, Cuma mereka mungkin tahu setelah anggota tu keluar...Dan kalau di dapati ada unsur-unsur penipuan, barulah boleh diambil tindakan..

Itu sebabnya nak melaksanakan MADEVAC bukan sesenang seperti diungkapkan....tiada kayu pengukur yang jelas. Jadi yang boleh buat keputusan  sama ada seseorang itu perlu di MADEVAC atau tidak adalah biasanya “Commander on the Ground” ...dan kalau Commander tu kelabu, meng MADEVACkan anggota yang tak sepatutnya di MADEVAC, maka jenguhlah beliau akan berjawab bila keluar dari operasi nanti. Apa taknya , nak-nak kalau MADEVAC tu menggunakan heli...berapa ribu kerajaan belanja duit minyak kerana nak mengeluarkan seorang anggota di kawasan operasi , itu tak masuk lagi dari segi risikonya, keadaan cuaca yang mungkin berbahaya kepada heli dan sebagainya. Kalau MEDVAC menggunakan jalan lain seperti jalan air, kenderaan dan sebagainya  pun kira menyusahkan juga.

Dan bila part nak gunakan heli ini pun satu hal jugak. Bukannya semua tempat di dalam hutan heli boleh landing. Dan MADEVAC pun biasanya tak gunakan ‘winching line” ...[tali dan pengangkut, di mana pesakit masuk di dalam pengangkut dan ditarik naik ke atas heli tanpa heli mendarat ] kerana keadaan hutan yang biasnya tidak sesuai sebab ada ‘high canopy’ [pokok tinggi] dan kadang-kadang masa MADEVAC juga diguna untuk resupp [ulang bekal terhad] seperti bateri radio, ransum kering dalam kadar yang kecil. Justeru itu biasanya kalau nak MADEVAC biasanya mesti ada helipad...Dan seperti Den kato tadi , dalam hutan tu,helipad bukanya banyak...jadi biasanya kalau anggota komando yang operasi mereka akan buat helipad sendiri. Ini adalah kerana corak dan kaedah operasi mereka tidak sama dengan askar infantri yang lain. Kebanyakan askar infantri lain beroperasi melalui ‘firm base’ yang biasanya memang dah ada LP..dan antara permanent LP yang berada di kawasan OPs Kota FOxtrot dan Kota Bravo ..adalah NOV ONE BAR,NOV TWO BAR..KILO .DELTA..dan sebagainya.
SAJA SEBAGAI HIASAN

Sepanjang ingatan Den , dah agak banyak jugak Den buat LP di kawasan sempadan Malaysia Thai semasa beroperasi dulu. Paling ramai Den pernah buat LP adalah satu troop di LP ULU LAHO..dan masa buat LP ini memang meriah...maklumlah ramai...dan bahan letupan pun  mewah  [PE C4] . Kerja buat LP ini bukannya mudah, macam nak bukan ladang kek hutan dara jugak. Banyak kerja tebang menebang yang nak di buat, dan kalau tak larat dengan parang , biasanya kami akan tumbangkan  pokok-pokok tu dengan PE. Dan nak gunakan PE ini pun ada pelajarannya, berapa lubang yang dibuat pada batang pokok tu, faktor sudut letupan pun kena ambil kira kerana nak menentukan arah pokok tu jatuh dan kalau silap ia jatuh di tempat yang nak kita buat LP tu, maka akan bertambahlah lagi kerja tu. Dan biasanya kerja-kerja membuat letupan ini akan dibuat oleh geng letupan Khas ataupun anggota Engineer komando, sebab mereka ini memang terlatih di dalam bab-bab macam tu...Mereka akan gunakan kepakaran mereka untuk menggunakan seminima PE yang boleh untuk menjatuhkan pokok-pokok yang perlu di jatuhkan...Mereka berbuat demikian bukan fasal nak menyahut usaha kerajaan untuk berjimat cermat atau berbelanja berhemah, tetapi atas dasar...lebih banyak PE dapat dijimatkan lebih banyaklah, lubuk ikan akan diletupkan.

Dan dari pengalaman Den , anggota engineer yang paling pandai menjimatkan penggunaan PE ini untuk membuat LP adalah KPL ABU BAKAR , orang bukit Semanggol, BAJAU...biasanya orang akan membuat kira-kira  tentang berapa PE yang diperlukan untuk meletupkan sesebatang pokok...kalau salah kira takut pokok tak tumbang dan ini akan merugikan kerana ia akan diletupkan sekali lagi...tapi bagi BAKAR ini, dia punya approach lain...Den perhatikan dia, kalau nak tumbangkan pokok sebenar pemeluk...dia akan tenung batang balak tu, , kemudian , dia akan buat tanda, dua tiga..{ nak buat lubang untuk masuk PE laaatu ] kemudian dia akan gerudi lubang dan sumbatkan PE..sambil tu mulut dio terkumat kamit macam bercakap seorang diri..lepas tu dia pasang , detonate cable..dan setelah dia pastikan kawasan selamat dan siap memberi amaran..dia akan letupkan pokok dan pokok itu,pasti akan tumbang...Den pun heran jugak, sebab dia tak pakai banyak PE dan biasnya pokok itu pasti tumbang  di arah yang dikehendaki.

Den pernah bertanya dia , “..Burn kau pakai formula mana, bila nak mengira PE yang diperlukan untuk meletup pokok tu”.

Jawabnya “ Tak ada formula ..tuan. saya main agak-agak aje “

Kato Den : “ ..Kenapa kau tak pakai formula yang diajar ,yg boleh menjimatkan dan berkesan kepada pokok yang nak ditumbangkan?”

Jawab Burn :..Saya tak pandai kira-kira formula ilmu hisab tu Tuan,,,saya main agak aje..

“Laa abih macamana kau boleh lulus kursus Letupan Khas dulu kalau kau tak pandai kira-kira..sebab markah lulus setiap ujian untuk Letupan Khas adalah 98 markah..?..

Jawab Burn..Saya ada bela toyol laa tuan...saya memang tak pandai ilmu hisab nie.”

Iskh ado jugak orang macamkau yea..

Burn:   Alaa Tuan. Kat Komando ini macam-macam orang ada, Tuan kenal tak En .#@#@$, dia lagi teruk..pangkat PW  11 tapi membaco pun gagap lagi...!

Ok laaBurn, abis aku tengok mulut kau kumat kamit semasa nak memasang PE pada pokok..apo hal lak tu ?

Jawab Burn..”Tuan, masa tu saya berdoa supaya Allah membantu saya dan pastikan letupan saya tu menjadi. Kita kena selalu berdoa tuan dalam apa juga usaha kita...Ehh boto jugak tu..dan Burn banyak mengingatkan Den untuk selalu berdoa, dan bukan berdoa atas tikar sembahyang sahaja....
.
Selain dari itu Den pernah jugak buat LP dengan hanya 5 orang sahaja. Semasa tu  RKK kami telah berada jauh dari kumpulan RKK yang lain. Oleh itu semasa RESUPP kami terpaksa membuat LP sendiri. Pada masa itu kami hanya berlima, dan nak buat LP ini memerlukan kerja yang banyak .Akhirnya Den buat keputusan untuk membuat LP berhampiran dengan kawasan sungai . Den seterusnya telah memilih lokasi lapang di tepi sungai dan ini banyak membantu kami kerana kami tidak perlu untuk menebang sebarang pokok. Tapi masalahnya , kawasan tersebut adalah berpaya dan tanahnya lembutnya. Kami tahu heli tidak akan mendarat di kawasan tanah lembut atas sebab keselamatan. Akhirnya kami mendapat idea, untuk membuat, tikar buluh bagi menutupi kawasan LP tersebut dan kemudiannya di tabur dengan batu-batu sungai dan pasir. Kami terpaksa berjalan menongkah arus, sungai sejauh 2 km untuk mendapatkan buluh. Selepas kami menebang hampir 50 batang buloh , kami menghadapi masalah untuk membawanya balik ke kawasan LP, maklumlah masa tu kami hanya bertiga sahaja. Akhirnya Den mendapat idea, lalu kami hanyutkan buluh-buluh tersebut di sungai dan terus menolak nya ke kawasan LP kami . Kami sampai lebih kurang 3 jam kemudian..dan malam tu  kami terus bekerja memecahkan buluh-buluh tersebut dan menganyamnya seperti menganyam dinding buluh..pada keesokannya , kami terus memasang tikar buloh kami dan kemudian kami “pakukan” ke tanah, kemudian kami angkut pasir dan batu-batu dari sungai berhampiran...Berkat hasil usaha kuat kami, kami berjaya menyiapkan LP tersebut dalam masa 3 hari.

Begitulah pengalaman Den fasal membuat helipad ini. Ia sebenarnya bukan satu kerja yang mudah. Banyak tenaga di perlukan dan di samping itu banyak perkara-perkara teknikal yang perlu diketahui semasa nak membuat LP tersebut . Kalau tak kena gaya, biasanya pilot heli tidak akan mendarat jika mereka mencurigai akan keselamatan LP yang dibina. Selain dari itu kita kena tahu juga route fly in and out heli ke kawasan LP..Kalau laluan tersebut tidak clear “ada high canopy “, atau pokok mati dan sebagainya..biasanya heli tidak akan mendarat... kalau itu berlaku , ia amat mengecewakan kami kerana bukan sahaja kami tidak beroleh bekalan resupp, malah kami terpaksa bekerja membaikinya semula dan ini biasanya akan makan masa beberapa hari lagi untuk heli tersebut menjelma kembali. Dan masa penantian itu adalah satu penyeksaan bagi kami dan biasanya kami akan mengisi masa kami itu dengan lagu “Burung Nuri, Terbang Tinggi “....