Tuesday, 16 August 2011

Siri 2 : They Got and They Forgot


Pada keesokannya, selepas sarapan, Den dan Kol X telah membuat brain storming bagaimana nak melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Matlamat utama kami adalah untuk mengumpul maklumat berkaitan dengan lanun dan kes penahanan HS 1. Perkara ini bukan satu benda yang mudah dan ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan rancangan yang teliti. Hasil dari brain storming tersebut , kami telah membuat keputusan untuk berjumpa dengan pihak UKMTO [UK Maritime Trade Operations ] .  UKMTO adalah mirip kepada organisasi IMB [International Maritime  Bureau] yang merupakan sebuah badan sukarela awam.


Pada tengah hari tersebut kami telah menghubungi pejabat UKMTO di Dubai dan bertemu dengan Pegawai Perhubungan Tentera Laut Britain di  Ibu Pejabat beliau di Jalan Al-Syareef, Dubai. Di dalam perjumpaan singkat itu, Kami telah dimaklumkan tentang situasi terkini kapal yang ditahan, ie Hijacked Ship (HS) . bahawa kapal tersebut bersama hampir 21 buah kapal lain yang di rampas berada di kawasan perairan Eily. Selain dari itu tiada banyak maklumat baru dan kukuh diperoleh dan kebanyakan maklumat adalah maklumat yang telah diketahui sebelum ini. Kecewa betul kami pada hari itu, kerana kami menyangka bahawa UKMTO merupakan sebuah organisasi yang mantap kerana telah lama beroperasi di kawasan tersebut. Bila kami minta maklumat berkaitan dengan kumpulan-kumpulan lanun yang terlibat  di dalam kawasan tersebut, hampeh..mereka sendiri kelabu.
Berita Berkaitan the 'Hijacked Ships'
Selepas perjumpaan yang tidak mendatangkan sebarang hasil tersebut, kami berlepas ke Djibouti menaiki pesawat dan kami tiba pada jam lebih kurang 8 malam. Ketibaan kami di Lapangan Terbang Djibouti telah disambut oleh Dr. Z. Kami disambut seperti VIP, kami tidak melalui sebarang pemeriksaan keselamatan dan passport kami di periksa di kaunter khas. Wah kami terasa macam orang penting lak kat situ. Dr. Z  merupakan orang perhubungan yang penting untuk menjayakan misi ini. Beliau mempunyai rangkaian (networking) yang dipercayai untuk mengaturkan pertemuan dengan orang-orang penting di Somalia dan juga pihak perampas. Pada keesokannya melalui Dr. Z kami telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak berkuasa di Djibouti seperti Pegawai Keselamatan Dalam Negeri, Ketua Hakim Djibouti serta Gabenor Somali Puntiland, Gen Abe Musa .  

Di dalam pertemuan dengan pihak terbabit, Kami telah memaklumkan tentang kehadiran Kami di Djibouti adalah bagi memantau tentang perkembangan krisis yang melibatkan rampasan kapal kepunyaan Malaysia. Mereka telah membuat perakuan akan sedia memberi bantuan kepada kami bagi menjayakan misi ini. Selain dari itu, kami juga telah membuat Pertemuan dengan Pegawai Memerintah Pangkalan Tentera Perancis di Armess, Dijibouti. Kami telah memaklumkan secara ringkas tentang tujuan  kehadiran kami ke pangkalan tersebut. Selain membuat tinjauan awal fizikal fasilitet ketenteraan di Djibouti.

Setelah dua hari bertungkus-lumus dan menghadiri beberapa perjumpaan penting dengan pihak-pihak tertentu di Djibouti, Den merasa agak lega kerana, the structure and the networking are in place” dan kami telah bersedia untuk  melaksanakan tugas yang sebenarnya. Usaha-usaha penubuhan ini telah banyak membantu pihak Malaysia semasa pembebasan kapal kedua-dua buah kapal yang telah ditawan. Walau bagaimanapun Den tidak dapat menceritakan secara detail bagaimana “the structure and the networking”  ini telah memudahkan banyak pihak tertentu kerana faktor-faktor sensitif. Cuma yang Den ralat  tiada sebarang  ‘ucapan terima kasih’ pun kami terima dalam usaha-usaha yang telah dilaksanakan. They got and they forgot . Apa-apa pun perkara itu tidak menjadi masalah atau menjadi kudis kepada kami. Cuma keangkuhan orang-orang tertentu dan pihak-pihak tertentu selepas HS 1 dan 2 dibebaskan yang Den kesalkan.

Pada masa itu kami merasa cukup bangga sekali maklumlah, dalam masa 48 jam setelah berada di Djibouti, kami telah berjaya membuat perhubungan dengan beberapa orang penting dan berpengaruh di Djibouti dan ini akan membantu kami di dalam penugasan sebenar nanti. Dr.Z  merupakan orang perhubungan yang penting untuk menjayakan misi ini. Beliau mempunyai rangkaian (networking) yang boleh dipercayai untuk mengaturkan pertemuan dengan orang-orang penting di Somalia dan juga pihak perampas. Melalui Dr. Z, kami telah berjaya mengadakan beberapa rangkaian pengumpulan maklumat  bagi membantu kami di dalam misi ini. Den rasa tanpa bantuan dari Dr. Z, agak sukar juga kami melaksanakan tugas kami. Ehh...bantuan tersebut dilaksanakan bukan dengan hanya menggunakan air liur aje, ia tetap menggunakan Pak Benjamin. Banyak juga diperuntukkan kepada beliau untuk tugas sebegitu. Dah memang menjadi kebiasaan dan tabiat manusia, bila kita hulur  barulah kerja boleh jalan...Cuma ini bukan duit rasuah.

Esoknya kami dan Dr. Z telah merancang untuk mengaturkan perjumpaan dengan  individu-individu yang mempunyai kaitan secara terus dengan pihak perampas kapal HS 1. Den tak sabar-sabar lagi nak berjumpa mereka untuk mendapatkan maklumat dari mereka. Ini adalah penting bagi memastikan bahawa Kami akan sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan krisis dari masa ke semasa, Kami juga telah merancang untuk menghantar beberapa  orang tempatan yang bertindak sebagai ‘eyes and ears’ bagi kami  di kawasan perlanunan di Somalia. Dengan harapan mereka dapat  membantu Kami di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan krisis di kawasan operasi dari masa ke semasa.

Walau bagaimanapun pemilihan mereka akan dibuat dengan begitu teliti dan mereka harus diuji terlebih dahulu. Ini adalah kerana di Djibouti ini bila sebut sahaja fasal kegiatan perlanunan di Somalia, hampir semua mengaku bahawa mereka tahu dan kenal dengan mereka –mereka yang terlibat. Bila sembang fasal lanun aje mereka akan cerita dari A-Z dan akan menceritakan pelbagai versi sifat dan kegiatan perlanunan. Kalau yang rajin menulis memang sedap membuat buku fasal perlanunan di Somalia ini.
the pirates in actions

Secara ringkasnya sejarah kewujudan lanun di kawasan perairan Teluk Aden dan Somalia  yang melibatkan rampasan kepada kapal-kapal dagang yang melalui perairan Teluk Aden bermula pada tahun 1991. Selepas Kerajaan Somalia telah jatuh terdapat beberapa kes serangan lanun telah dilaporkan di kawasan perairan Teluk Aden. Pada tahun 1993-1996 Pasukan Pengaman dari United Nation telah ditugaskan untuk memelihara keamanan di Somalia, tetapi ia tidak mendapat sebarang kejayaan. Penarikan keluar pasukan PBB telah mengundang pertikaian yang lebih sengit antara kaum.

Pada tahun 1997, selepas kematian Farah Aideed, sebuah kerajaan sementara dikenali sebagai Federal Transitional Government (FTG) ditubuhkan. Dalam ketegangan ini Wilayah Puntland telah mengisytiharkan kemerdekaan wilayah. Bermula pada tahun 2000 – Perairan Somalia telah mula dipenuhi dengan kapal asing yang menjalankan tangkapan ikan secara haram. Bagi mengatasi perkara ini pihak Gabenor of Puntland, telah menubuhkan satu pasukan Somali Marine Force dan Voluenteer Coast Guard untuk bertindak menghindarkan kegiatan penangkapan ikan secara haram. Mereka akan menahan kapal-kapal ikan yang menjalankan kegiatan penangkapan haram dan akan melepaskannya dengan pampasan antara USD 50 ribu ke USD 100 ribu.

Namun pada tahun 2001, ekoran kegagalan kerajaan wilayah Puntland membayar gaji anggota Coast Guard ini dan ketiadaan sumber untuk menguruskan peralatan bot marin, kumpulan ini menarik diri dari kerajaan dan seterusnya bekerja sendiri untuk mencari wang dengan menahan bot-bot ikan asing haram dan mendapat pampasan daripadanya. Pada tahun 2003, mereka yang dulunya bekerja dengan pihak Somali Marine Force dan Volunteer Coast Guard telah bertindak dengan lebih berani dengan merampas kapal-kapal perdagangan dan kemudiannya membuat tuntutan wang tebusan. Maka di sinilah bermulanya aktiviti pelanunan sehingga sekarang.

Apa-apa pun setelah dua hari berada di bumi Djibouti ini, Den merasa puas dan lega kerana kerja-kerja kami telah menjadi mudah kerana adanya bantuan dari Dr Z. Kami memang berbesar hati dan berterima kasih kepada beliau kerana menjadi pembantu kami. What we get we never forget . Dan malam itu, Den tidur dengan nyenyak sekali di Sheraton Hotel, walaupun cuaca di luar agak panas walaupun di waktu malam hari dan esok tugas yang lebih mencabar menanti.