Sunday, 8 May 2011

Siri 15c : Terimaaaaa Kasihhhhh...Tonto !

Den Nak Ingekkan: Blog ini pasal pengalaman Den. Apo Den cerito adolah pasal pandangan peribadi Den dan pengalaman Den. Kalau ado apa-apo yg sensitif tu, jangan nak buek publisiti dan dimanupilasikan sebagai isu politik ko, kemanusioan ko,keselamatan ko....ini Cerito Den sebagai bokeh Komando .!


Kira-kira  45  minit kemudian Den sampai di rumah Mat Lani. Kami berhenti di bahagian dapur  rumah dia dan seterusnya Den  berjumpa dan  berkenalan dengan  Mak dan Bapak Mat Lani. Emak Mat Lani mengajak  Den untuk masuk ke rumah . Mula-mula hajat nak masuk tu ada jua, tetapi bila melihat reaksi adik perempuan Mat Lani yang pada waktu itu ada di belakang ibunya, yang menutup mulut, Den jadi segan  dan  pada waktu Den terfikir, mungkin adik  Mat Lani menutup mulut kerana, tak tahan dengan bau badan Den..hahahhaa…Den pun membatalkan niat Den untuk masuk ke rumah tersebut, sebaliknya  Den katakan yang Den  nak duduk kat luar dahulu ( di belakang rumah ) kerana nak menunggu kawan-kawan Den yang lain. Mak  Mat Lani , macam faham dan seolah-olah dapat membaca hati Den. Dia menghulurkan secawan  kopi panas untuk Den.  Sambil menunggu kawan-kawan Den, Den bersembang dengan ayah  Mat Lani  dan  pekena rokok “gudang garam “ pemberian ayah Mat Lani…Masa tu kepala Den pening , disebabkan Den tak biasa merokok, tapi pasal nak jaga hati ayah Mat Lani, Den teruskan juga menghisap rokok tersebut.

Kira-kira 30 minit kemudian, semua riders selamat sampai di destinasi yang dituju. Kami bernasib baik kerana semasa  perjalanan kami tidak menghadapi sebarang halangan. Sebaik sahaja semua sampai, Mat  Lani mengajak kami memasuki rumah beliau kerana, emaknya telah menyediakan makanan. Setelah berfikir seketika, Den maklumkan kat Mat Lani, bahawa Den berasa tidak selesa untuk masuk dan makan di dalam rumah kerana keadaan kami yang agak kotor, berbau dan kami tidak mahu menimbulkan suasana yang tidak selesa kepada keluarga Mat Lani. Walau bagaimanapun Mak dan ayah Mat Lani , berkeras mahukan kami makan di dalam rumah dan katanya makanan dah siap terhidang.  Den seterusnya  memohon maaf kepada mereka kerana Den tidak sampai hati nak masuk ke dalam rumah mereka dengan keadaan kami pada waktu itu. Den percaya kalau kami buka kasut aje, nescaya akan hilang selera makan kami pada waktu itu. Akhirnya Mak dan ayah Mat Lani mengalah dan mengarahkan agar  Mat Lani membentangkan tikar di belakang rumah di malam buta itu untuk kami bersantap.

Setelah tikar di bentang, lauk dihidangkan,  Mat Lani memasang beberapa batang lilin untuk menerangi kawasan tersebut. Lauk yang dihidangkan pada malam itu adalah kari ayam, sambal tumis sotong, sayur sawi goreng ikan bilis dan telur dadar.  Kami menyantap dengan begitu selesa sekali malam tu sambil di terangi dengan lampu lilin. Sambil makan Den berseloroh  dan berkata “ Wah..senang banyak kita  malam nie, dah lah tak payah berjalan, boleh buat  “candle ligth dinner” (CLD)  lagi. Geng Den yang lain tak ambil kisah dengan kata-kata Den tu, Cuma Rumbi saja yang bersuara. “ Tuan candle ligth dinner “ tu  apa ?...Bila mendengar pertanyaan Rumbi tu, Den tersenyum sendirian..dan berkata “ Laaa..Rumbi itu   pun kau tak tahu ke  ?..Rumbi menjawab “ ..pernah dengar tuan, tapi tak tahu apa maksudnya ..”...Den  kata” ..CLD tu adalah kita makan sambil diterangi oleh cahaya lilin, biasanya suasana macam gini di anggap romantik dan sesuai untuk orang tengah bercinta “..kata Den..Rumbi pun berkata “ Wah kalau macam itu, lepas  kursus ini aku nak makan “CLD “ laa dengan girlfriend aku kat Medan Ikan Bakar  Umbai..,Bila mendengar kata-kata Rumbi tu, Den senyum sendiri, “ woit rumbi ,kalau kau makan kat Umbai tu, manalak kau nak dapat suasana “diterangi cahaya lilin “ masa makan, kat tempat tu dahlah  cerah dengan lampu-lampu, dan kalau kau nak tengok juga lilin menyala, setahu Den lilin yang dibuek halau lalat adalah...! Tempat tu tak sesuai untuk buat CLD, tempat yang sesuai adalah di hotel-hotel bertaraf 4 atau 5 bintang...baru kelas gitu”, kata Den .  “Kalau macam tu cancel laa tuan, buat perhabis duit aku aje makan hotel macam tu “.....Lepas makan, kami dihidangkan dengan minuman air kopi. Suasana malam itu amat nyaman sekali. Hari itu  adalah antara hari-hari yang paling bahagia di sepanjang hidup kami  semasa menghadiri AK. Lepas makan, kami pun tidur di kawasan belakang rumah Mat Lani, dengan hanya beralaskan poncho.

Pada keesokannya, pagi-pagi lagi kami telah bangun dan berkemas.  Emak Mat Lani telah menyediakan nasi lemak dan juga air kopi dan  juga beberapa jenis kueh mueh untuk kami sebagai sarapan pagi. Selepas sarapan kami bergerak ke CP yang terletak kira-kira 3 km dari  rumah Mat Lani. Setelah hampir di kawasan CP 9, Den berhenti dan memberi taklimat kepada geng Den seperti biasa berkaitan dengan perjalanan kami. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa semua anggota mempunyai cerita yang sama. Setelah selesai , kami  pun melapur di CP 9.  Kali ini penampilan tim kami adalah berbeza, kami tidak bercakap banyak dan tidak lagi bermegah. Kami juga tidak menceritakan kepada kawan-kawan lain apa yang berlaku di sepanjang perjalanan kami. Semasa itu kami telah mendapat maklumat bahawa 3 tim telah digugurkan dari mengikuti kursus kerana “dipercayai telah memeras ugut, pekerja Indonesia di sebuah kongsi. Masa itu Den tak ambil tahu sangat  fasal cerita itu.  Sebaik sahaja selesai melapur Kami berehat sebentar dan 30 minit kemudian kami meneruskan perjalanan menuju ke CP 10, iaitu CP terakhir.

Kami tidak bergerak ke arah CP 10 , sebaliknya kami telah berpatah balik ke rumah  Mat Lani. Kami sampai di rumah Mat Lani, kira-kira  pukul 12 00 tengah hari. Sebaik sahaja sampai kami terus menikmati juadah makan tengah hari yang telah disediakan oleh keluarga Mat Lani. Selepas makan, Den pun memberi taklimat untuk meneruskan pergerakan ke CP 10 yang terletak kira-kira 45 km dari situ. Kali ini  ia turut di hadir oleh ayah  Mat Lani selaku pemandu van dan dua orang rakan Mat Lani selaku  “tonto “. Rancangan pergerakan amat mudah, dari  rumah Mat Lani kami akan terus terbang menaiki van yang akan dipandu oleh ayah  Mat Lani  dan menuju ke CP 10 . Pergerakan akan didahului oleh dua rakan Mat Lani yang akan menaiki dua moto kapchai dan bertindak sebagai tonto. Tugas mereka adalah untuk memastikan bahawa , laluan kami adalah bebas dari sebarang sekatan musuh. Jika mereka melihat atau mengetahui kehadiran musuh, mereka akan berpatah balik dan memaklumkan kepada kami yang akan bergerak 15 minit selepas mereka bergerak. Ini adalah kerana kami  akan menaiki van yang tertutup dan jika van tersebut ditahan, bermakna kami tidak akan berpeluang untuk melarikan diri. Apa yang mungkin mampu kami buat pada masa itu adalah serahkan nasib kami pada tuhan.

Setelah semua bersedia untuk bergerak,  kami menaik van putih yang Den sendiri tidak  pasti  kepunyaan siapa, tetapi  yang Den tahu ia akan dipandu oleh ayah Mat Lani. Semasa menaiki van hanya perasaan perkataan berikut  di pintu van tersebut “ Wak Jamari Enterprise.  3 orang pekerja. Barang-barang persendirian sahaja ?. Setelah kira-kira 15 minit kedua-dua tonto itu bergerak, van  tersebut mula meninggalkan rumah Mat Lani. Semasa di dalam van , kami hanya berdiam dan banyak menghabiskan masa dengan berdoa dan berzikir..akan perjalanan kami selamat sambil menghabiskan saki baki rokok yang masih ada di dalam simpanan kami. Di sepanjang perjalanan, dua kali tonto telah mengarahkan agar ayah  Mat Lani , menggunakan jalan lain kerana mengikut maklumat dari tonto bahawa pihak musuh sedang berkeliaran di kawasan tersebut. Nasib baiklah ayah Mat Lani amat mahir dengan jalan-jalan ‘short cut” di kawasan tersebut. Kami akhirnya berjaya mengelak dari melalui jalan-jalan yang dikuasai musuh. Setelah hampir sejam, kami  dapati van tersebut berhenti  di sebuah rumah usang di dalam ladang kelapa sawit......

Selepas menurunkan semua peralatan kami, Den pun bersalaman dan mengucapkan  salam perpisahan . Den seterusnya mengarahkan agar semua anggota tim  duduk di dalam rumah usang tersebut sementara Den dan Sebi membuat tinjauan kawasan bagi memastikan kedudukan kami yang sebenarnya dan juga CP yang hendak kami tujui. Kira-kira 2 jam  Den balik dari recce dan telah memastikan kedudukan sebenar dan juga kedudukan CP 10 yang hanya terletak kira-kira 1km dari tempat kami. Setelah mengesahkan kedudukan kami berasa amat lega kerana kami pasti musuh tidak akan beroperasi di kawasan tersebut kerana kedudukannya yang terlalu hampir dengan CP. Ini adalah kerana, mengikut arahan latihan yang Den fahami, pihak  musuh tidak boleh beroperasi di dalam lingkungan 5km dari mana-mana kawasan CP.  Masa itu Den yakin ,seyakin-yakinnya bahawa musuh tidak akan menangkap kami lagi dan kami secara teorinya telah berjaya untuk menamatkan latihan tersebut dengan hanya sekali dijadikan POW.

Walaupun  telah hampir benar dengan CP 10, Den tidak mahu melapur pada hari itu , kerana ia adalah amat tidak logik jika diketahui oleh jurulatih bahawa kami boleh bergerak  sejauh 45 km hanya dalam beberapa jam sahaja. Sebenarnya kami diberikan 72 jam untuk sampai ke CP terakhir. Jadi Den telah bercadang untuk berkhemah dan berkampung di kawasan itu untuk 48 jam lagi, dua hari terakhir ini kami gunakan sepenuhnya untuk kami berehat tidur dan mengubati kecederaan kami. Malam tersebut kami tidur di dalam pondok usang itu dengan penuh kelenaan tiada sebarang gangguan (melainkan gangguan nyamuk sesekali ) . Kami berjaya di tahap ini adalah kerana kemampuan tonto kami membaui kehadiran musuh dan memberi maklumat segera kepada kami yang mengekori dari belakang bagi mengelakkan dari diburu musuh. Malam itu Den tidur dengan penuh kesyukuran kepada Allah kerana telah memudahkan perjalanan kami dan ucapan terima kasih kepada keluarga Mat Lani, kap chai riders dan kedua tonto yang telah membantu kami sepanjang perjalanan dari CP 8,9 dan 10..... Malam itu Den meminta Mat Sebi, mendendangkan lagu khas..sebagai mengenang jasa mereka-mereka yang telah membantu Den, lagu  SERIBU BINTANG ....nyanyian ALLEYCATS dan Mat Sebi mengakhiri nya dengan ucapan. TERIMAAAAAAAA KASIHHHHHHH !! Kami semua tidur dengan senyuman pada malam itu.