Wednesday, 18 May 2011

Satu utk saya, satu utk bapak..

Den Nak Ingekkan: Blog ini pasal pengalaman Den. Apo Den cerito adolah pasal pandangan peribadi Den dan pengalaman Den. Kalau ado apa-apo yg sensitif tu, jangan nak buek publisiti dan dimanupilasikan sebagai isu politik ko, kemanusioan ko,keselamatan ko....ini Cerito Den sebagai bokeh Komando .!


Latihan fizikal dan mental yang keras yang telah dilalui oleh anggota komando menyebabkan ramai  dikalangkan anggota komando mempunyai tahap keegoan dan keberanian yang melampaui tahap keegoan dan keberanian manusia biasanya.  Perkara ini terjadi disebabkan ada di kalangan anggota komando,  yang gagal mengawal emosi dan juga berfikir secara rasional disebabkan kedangkalan fikiran mereka atau disebabkan desakan “darah muda”. Akibat dari permasalahan tadi, maka secara tidak langsung ia telah menyebabkan ramai dari kalangan anggota komando yang masih muda mempunyai sifat keegoan yang tinggi  dan selalu menunjukkan keberanian mereka  secara keterlaluan walaupun tidak kena pada masa dan tempatnya. Perkara ini semua dilakukan adalah disebabkan kegagalan mereka untuk mengawal fikiran dan juga keinginan yang tinggi untuk menonjolkan jati diri mereka sebagai seorang anggota komando .


Walau bagaimanapun Den harap pembaca semua tidak salah tafsir dengan apa yang Den cuba nyatakan di sini. Sifat keegoan dan keberanian yang tinggi, memang biasanya wujud di dalam diri mana-mana anggota komando kerana ini adalah hasil dari keperitan dan kesusahan latihan sebagai seorang anggota komando yang telah mereka lalui. Ia nya bukan merupakan satu  “penyakit” tetapi ia lebih merupakan satu fasa di dalam kehidupan sebagai anggota komando.  Biasanya “penyakit ini (kesukaan meninggi diri (ego) dan menunjukkan keberanian secara keterlaluan akan berkurangan bersama peningkatan usia dan juga tempoh mereka berada di dalam unit komando.

Akibat dari sifat keegoan dan keberanian yang melampau tadi (“penyakit”)  ramai di kalangan anggota komando yang “hidup nekad , mati muda”.  Pada satu masa dulu,ramai di kalangan anggota-anggota komando yang menjadi “highway star “, kerana keberanian mereka membawa motor secara gila-gila (kalau istilah sekarang  mat rempit) dan banyak juga nyawa yang telah hilang dan “menjadi pusara di lebuh raya”.  Keadaan menjadi agak serius pada ketika itu, sehingga pihak pemerintah tertinggi terpaksa mengharamkan penggunaan motosikal di bawah kuasa 250cc  bagi semua anggota komando. Ini adalah kerana pada saban minggu atau bulan , ada sahaja berita  kemalangan yang menyebabkan kematian atau kecederaan kepada anggota komando. Larangan tersebut memang pelik, tetapi ia adalah satu langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan di kalangan anggota komando yang suka membuat aksi-aksi bahaya semasa di jalan raya.  

Walau bagaimanapun, selain dari keghairahan untuk menunjukkan keberanian di jalan raya, ada juga anggota komando yang memilih medium lain untuk menunjukkan keberanian mereka . Ada seorang komando yang bernama Tpr Salim (bukan nama sebenar), dia suka menunjukkan keegoaan dan keberaniannya semasa berada di kolam renang, maklumlah dia merupakan seorang anggota perenang tempur kelas 1 dan bertugas di Squadron Perahu Khas (SPK). Biasanya semasa di kolam, dia akan menunjukkan aksi-aksi renangnya, aksi  pelbagai lompatan (walaupun kolam renang di Kem Sg Udang tidak mempunyai papan lonjak), kebolehannya menyelam dan sebagainya. Satu hari tu, waktu petang, Tpr Salim dan beberapa orang rakan komando yang lain telah berhajat untuk mandi di kolam renang tersebut. Pada waktu itu hari adalah hari cuti. Sebaik sahaja Tpr Salim “memparkirkan “ (parking) motosikalnya, beliau terus berlari ke arah kolam untuk membuat terjunan “flying kick” ke dalam kolam. Tanpa disedarinya , pada mas itu, air di dalam kolam itu telah  dikeluarkan untuk tuj uan disenggarakan dan mencuci kolam.  Akibat dari lompatan gaya ‘flying kick’ tersebut Tpr Salim telah terjatuh ke dalam kolam sedalam 26 kaki itu tanpa ada setitik air pun. Akibatnya beliau telah mengalami kecacatan kekal di bahagian kaki dan tangannya. Beliau  bernasib baik kerana, tidak terjun dengan cara kepala dahulu sebagaimana orang lain biasa buat . Insiden ini berlaku kerana Tpr Salim mengalami sindrom “keberanian yang melulu tanpa usul periksa”. Semasa beliau terjun, berliau sempat mengayakan ala-ala sedang membuat “flying kick” dan menjerit (war cry )....Haiyaaaaaaaaaaatttt.....beberapa detik kemudian terdengar suarnya menjerit,.............Adoiiiiiiiiiiiiiiiii.....tolong aku....! Beliau bernasib baik kerana hanya mendapat kecederaan di kaki dan tangan sahaja, kalau kepala yang kena sudah tentu dia menjadi arwah.

Lagi satu kes anggota komando yang suka menunjukkan keegoan dan keberaniannya secara melulu adalah melibatkan seorang pegawai..bernama Zahari . Pada satu pagi minggu Den dan beliau sedang duduk bersembang-sembang di wisma. Den telah bertanyakan dia, kenapa dia tak keluar hari minggu ini untuk berjumpa dengan girlfrend dia. Zahari ini seorang yang macho dan agak kacak, dan boleh dikategorikan dalam kumpulan “jambu”. Masa tu Zahari kata, “ Den, aku malas nak  ada makwe lagi laa, aku dah serik “. Den pun bertanya kenapa “..aku baru frust dengan Si Ena tu, aku dapat tahu dia nak bertunang dengan orang lain minggu depan, frust menonggeng aku...!!!” Dia menceritakan kekecewaan dia dan hampir menangis. Sambil-sambil tu si Zahari menyanyi lagu Sudirman , yang Den dengar antara lain kata-kata liriknya “...kalau ku dapat mengepul awan, akan ku tuliskan..namamu...” lebih kurang macam tu laa. Den pun terus menyakat dia .”.Laa Zahari, awat kau nak tulis kat awan lak kalau berani tulislaa nama dia kat tangan kau, baru macho gitu..kat awan nak buat apa, ditiup angin akan hilang, kalau kat tangan, selagi hayat kau masih ada benda tu akan ada...”...Kata Den secara bergurau.

 Rupa-rupanya, kata-kata Den tu di ambil serius oleh si Zahari, masa tu Den dengar  dia kata  “..Apa ingat aku tak berani ke nak toreh nama dia kat tangan aku?”..Den pun mengapikan beliau. “ Kalau kau berani kau buat laa, jangan cakap aje...!Setakat cakap Den pun boleh buek...”.  Masa tu Den lihat Zahari terus beredar dan beberapa minit kemudian dia sampai ke tempat tu dengan ‘blade” pisau cukur ..Sebaik sahaja di duduk depan Den, dia selamba aje torehkan pisau cukur tersebut(blade) kat tangan dia, (atas sikit dari pergelangan tangan)....dengan perkataan  “ I ....love Ena”...masa tu Den tengok darah meleleh keluar , Zahari buat selamba aje...sebaik sahaja dia selesai, dia lap darah tersebut dan tunjukkan pada Den. Masa tu Den fikir, alaiiii apalaaa bodohnya si Zahari ini, orang lain pun bercinta juga, frust juga, tapi tak laa buat kerja-kerja bodoh tu.  Tetapi bagi Zahari itu adalah tanda keberanian dan kesetiaan dia pada Ena..Masa tu, mungkin dia berdarah muda, masih panas dan pantang dicabar...jadi tindakan dia tu dibuat tanpa berfikir secara rasional.

Den pun masa zaman jahiliah dulu pernah juga terkenan sindrom ingin menunjukkan keberanian yang melampau. Ada satu malam tu Den sedang bersembang dengan 2 orang pegawai KOPASUS (Komando Indon) yang berlatih di PULPAK. Semasa tu ada dua tiga orang lagi pegawai komando yang lain turut bersama.  Topik perbualan kami pada mulanya adalah  berkisar kepada  isu-isu umum yang melibatkan Indonesia dan Malaysia dan dibincangkan secara ilmiah. Akhirnya, perbincangan menjadi agak tegang  dan keras bila membincangkan  isu siapa lagi baik antara komando Malaysia dan Indon dari segi latihan dan sebagainya.  Pegawai Indon tu namanya KUAT BUDIMAN dan seorang lagi Den tak ingat. Kuat Budiman, telah menyatakan bahawa, “Ya Pak Den, harus ketahui , bahawa kami tentera Indonesia, khususnya SOPASUS, bisa menahan kesakitan secara fizikal tanpa perlu menitiskan  air mata INI SEMUANYA gara-gara latihan yang telah kami lalui semasa asas kopasus!”...Sebaik sahaja dia berkata demikian  Kuat telah mencucuh api rokok Gudang Garamnya di lengan sehingga putung rokok itu padam. Tindakan beliau itu telah membuatkan Den mengambil tindakan yang spontan juga .. Den yang pada waktu itu yang sedang menghisap gudang garam juga , terus mencucuh putung rokok tersebut di tangan Den di tempat yang sama Kuat cucuhkan api rokok tadi sambil berkata “..Waduh Pak itu perkara biasa, apa pak tak ketahuan bahawa komando Malaysia pun bisa berbuat demikian “...Melihat Den berbuat demikian. Kuat terus berkata  “...ayuh pak kita cuba sekali lagi,”...lalu dia memasang sebatang rokok lagi dan mencucuh sehingga padam..” Bila melihat dia berbuat demikian, Den pun terus memasang sebatang rokok lagi dan mencucuh di kawasan yang berdekat..”..Kuat terus membuat kali ketiganya dan Den terus membuat untuk kali ketiga, Kuat buat kali ke empat, Den pun terus buat kali keempat...Kemudian Den terus buat kali ke lima, tetapi Kuat tidak meneruskannya sambil berkata “...Waduh Pak Den, bapak ini orang ke atau apa pemakaian bapak sampai begitu berani menyahut cabaran saya...”...Masa tu Den dah tahu si mamat indon ini dah nak menyerah..lalu Den respon..”..Maaf Pak Kuat, saya ini tak laa sekuat nama bapak, dan saya ini Cuma orang biasa seperti bapak juga..”..Respons Pak Kuat..” Kalau gitu , tentu bapak Den ini ada pemakainya (ilmu) kalau tidak masakan gitu gagah dan menandingi saya dalam soal ini...”...Den pun dah malas nak menjawab masa tu  “...YA Pak...saya memang ada pemakaiannya....saya hanya memakai baju dan seluar  aja...” Malam tu tak pasal-pasal Den tak dapat tidur lena pasal menahan kesakitan akibat mencucuh rokok ditangan sendiri gara-gara nak tunjuk hero ..!

Dan pada hari ini, bila Den mengenangkan peristiwa tersebut Den senyum sendiri mengenangkan kebodohan dan kejahilan dan keegoan Den nak menunjuk-nunjuk kepada komando indon. Hari ini bila Den lihat lima parut yang masih lagi berberkas di tangan, Den akan tersenyum dan mengimbau kembali zaman jahiliah Den. Ada satu ketika anak Den tanya kenapa tangan abah ada banyak parut, Den jawab ini semua fasal Den kena ragging dulu, tanpa mahu menceritakan kisah sebenarnya kerana dikhuatiri anak-anak Den akan terikut-ikut tindakan bodoh Den pada waktu itu.