Monday, 16 May 2011

InysAllah..InsyAlllah....ehhh Boleh Blahhh Pulak !

Den Nak Ingekkan: Blog ini pasal pengalaman Den. Apo Den cerito adolah pasal pandangan peribadi Den dan pengalaman Den. Kalau ado apa-apo yg sensitif tu, jangan nak buek publisiti dan dimanupilasikan sebagai isu politik ko, kemanusioan ko,keselamatan ko....ini Cerito Den sebagai bokeh Komando .!


Mungkin  ada yang beranggapan bahawa  ramai anggota yang menyertai unit komando ini kebanyakannya mempelajari  ilmu kebatinan atau ilmu persilatan dan juga ilmu-ilmu rohaniah lain seperti kebal, memakai susuk keberanian semata-mata untuk mempertahankan diri. Perkara tersebut mungkin benar berlaku di masa awal—awal penubuhan komando dahulu. Walau bagaimanapun sejak kebelakangan ini amalan-amalan sedemikian rupa telah berkurangan dan amat jarang berlaku atau di amalkan oleh komando-komando kita . Ini mungkin disebabkan sejak penubuhan Kor Agama di dalam ATM telah memberi sedikit sebanyak panduan serta larangan untuk menuntut ilmu sebegitu rupa di dalam  ajaran Islam. Justeru itu, amalan-amalan yang berbentuk khurafat itu telah lama tidak diamalkan oleh anggota-anggota komando. Keberanian yang ada pada komando-komando kita pada hari ini adalah disebabkan hasil dari latihan yang telah mereka lalui dan  juga jati diri mereka  sendiri dan bukannya disebabkan oleh amalan ilmu-ilmu kebatinan sebagaimana yang sering diamalkan oleh komando-komando Indonesia.


Semasa Den berkhidmat di Kem Sg Udang , Den pernah mengalami beberapa peristiwa yang boleh dikategorikan sebagai histeria,rasukan dan juga kejadian ‘amok” disebabkan beberapa perkara yang sukar untuk difahami atau dalam kata mudah , hal-hal berkaitan mistik dan spiritual. Pernah satu malam, ketika semua pegawai bujang sedang makan malam di wisma, kami mendapat berita bahawa ada seorang anggota komando sedang mengamuk dengan membawa parang  di bilik penginapan anggota bujang di Sqn Zulu, 21 Komando. Setelah mendapat maklumat berkaitan perkara tersebut, Ajutan 21 Komando pada waktu itu, Kapt  Man telah meminta Den dan 2LT Samin untuk menemani beliau untuk pergi melihat anggota yang mengamuk di berek  bujang. Kami menaiki kenderaan yang dipandu oleh Kapt Man dan jarak Wisma pegawai ke tempat penginapan anggota bujang Zulu Sqn, 21 Kdo adalah lebih kurang 700 meter sahaja.

 Semasa di dalam kereta,Kapt Man terlah bertanya kepada Den “...Den kau biasake dengan orang-orang kena histeria nie,?  Jawab Den “..Tuan Den memang tak biaso, kalau kat kampong Den org kono histeria nie, biasonyo , kami panggil dukun atau pak imam ajo,,,lopeh tok imam baca ayat sikit-sikt, biasonya orang tu akan sodar dan baik semula “.  Lepas tu Den dengar Kapt Man kata..” Itu kalau dia menjerit atau tak sedar diri senangla, yang nie, aku dengar dia mengamok dengan parang...aku cakap betul aku tak berani nak mendekatinya, silap-silap aku lak kena parang...”. tiba-tiba 2Lt Samin mencelah “.....InsyAllah tuan saya biasa dan saya tahu apa nak buat...tuan jgn risau biar saya tengok dulu...IsyAllah saya tahulah apa saya nak buat.” Bila mendengar pengakuan 2Lt Samin, Den menjadi lega begitu juga dengan Kapt Man tetapi Den sempat mengingatkan 2Lt Min ;"..Min kau jangan IsyAllah, InsyAllah...lopeh tu apo-apo jadi kau pulak yang blahh dulu, Kau jangan nak harapkan Den dan Tuan  Man yo, kito dah bagi tahu kito org memang tak pandai dengan bondo-bondo macam nie, " Kapt Man pun mencelah “ OK Min, bila sampai nanti , kau masuk dulu, aku dan Den akan ikut dari belakang, kau tengok apa yang boleh kau buat.”  “ OK InsyAllah Tuan, Cuma saya nak Tuan berdua jangan rapat sangat dengan saya, sebab kalau dia nak menyerang, Isyallah saya boleh bertindak, Cuma saya takut tuan pulak yang akan jadi mangsanya nanti”...Kata Min.  “Itu kau jangan ghisau, InsyAllah tahula apo Den dan Tuan Man nak buek nanti, yang ponting kau kono sodarkan budak mengamok tu,” Kata Den.

Sebaik sahaja sampai di berek penginapan anggota bujang tersebut, Den lihat ramai anggota komando yang lain dah berkumpul kat luar. Kapt Man tanya apa yang berlaku kepada seorang Kpl yang berada di situ. Kpl tu berkata “..Tuan, si jalut dah mengamok dan dia ada memang sebilah parang panjang, kami dah  cuba nak pulihkan dia, tapi tak jadilah tuan, dia mengamok dan  melibas parangnya , nyaris-nyaris kami kena tibai dengan parang tu tuan.” Kapt Man pun bertanya “..Sekarang dia dengan siapa kat dalam tu?. Kpl tu menjawab “..Seorang tuan, bila kami cuba masuk, dia menjerit dan meracau sambil melibas-libas parang dan mengarahkan kami supaya keluar dari bilik tersebut, tu sebab kami tak berani nak masuk tuan .” Kapt Man pun berkata “..OK suruh semua anggota tunggu di luar aje, biar saya, Lt Den dan 2LT Samin masuk”. Masa tu hati Den berkata , ini baru betul dan contoh yang baik  sebagai pegawai komando, kami mengambil berat tentang masalah anggota dan kami sanggup berdepan dengan risiko. Dalam hati Den malam tu, mesti budak-budak komando akan bertambah respek kat kami bertiga. Dan Den bayangkan bahawa esok akan heboh satu kem Sg Udang yang kami bertiga berjaya menenteramkan anggota komando yang mengamuk dengan menggunakan parang...Tentu hebat reputasi kami selepas kes ini.

Sebagaimana yang dirancang, kami bergerak masuk ke berek tersebut  di dahului oleh 2Lt Samin, Kapt Man dan Den. Disebabkan berek tersebut penuh disusun dengan katil double decker , di kiri dan kanan, kami terpaksa berjalan “single file” menuju ke arah anggota yang  mengamok tersebut. Kira-kira 5 meter Den lihat Sijalut sedang meracau dan menjerit-jerit ke arah kami yang baru memasuki  berek itu. Katanya “...Aku dah kata, aku tak nak seorang pun ada dalam bilik ini, baik kau keluar sebelum aku pancung kau semua “. Masa tu Den dengar 2Lt Min berkata “...Kau diam, aku datang dengan niat baik, kau kenal kami ini semua siapa ?. Aku 2Lt Min , Adjutan dan Lt Den datang nak tolong kamu , lebih baik kau letakkan parang tu sebelum kami tangkap kamu.”..Tiba-tiba Den dengar Sijalut berkata “...Nak tangkap aku, siap kau, aku parangggggg kau...” sambil berlari ke arah kami.

Dan dalam masa yang sama Den lihat 2Lt Min lari dan melompat keluar melalui tingkap begitu juga dengan Kapt Man , beliau lari dibelah kanan dan melompat keluar melalui tingkap, Den yang pada waktu itu agak panik, terus berpusing ke belakang dan lari selaju-lajunya menuju ke pintu yang kami masuk tadi....Keadaan menjadi kelam kabut sekejap nasib baik Sijalut tidak mengejar kami sehingga keluar berek. Semasa di luar Den menjerit memanggil nama Kapt Man dan 2Lt Min, masa tu, Den dengar dengan jelas semua anggota yang berada di luar ketawa berdekah-dekah..!!! Den yang masih lagi tercungap-cungap, sempat tersenyum dan tergelak melihat gelagat si Lt Min dan Kapt Man.

Kami bertemu semula di kawasan luar berek dan pada waktu itu Den bertanya kepada 2Lt Min “..Kenapa kau lari, kau kata kau tahu apa nak buat tadi “..2 Lt Min berkata “..Sorry tuan, saya ingat saya boleh makan dia, tapi saya rasa benda yg rasuk dia ini memang kuatlaa tuan, bila saya tengok dia nak parang saya ,saya tak sempak nak bhuka sebarang langkah untuk mempertahankan diri, yang saya ingat masa tu langkah seirbu aje, tu yang saya lari tu..”..”Dan kau tahu, fasal kau lari tu sebab aku juga lari, nasib baik tingkap tu tak ada jaring kalau tidak memang sah si jalut akan parang aku”..kata Kapt Man..”Tuan bila saya tengok tuan lompat keluar dari tingkap tu , saya pun tak tunggu lagi, silap-silap saya lak yang kena parang,saya pun apa lagi buka langkah seirbu jugalaa “..kata Den. Masa tu kami masih boleh ketawa dan tersenyum lagi walaupun perisitiwa tu nyaris-nyaris boleh melibatkan kami mengalami kecederaan atau kematian.

Beberapa minit kemudian, Den telah mencadangkan agar satu tindakan drastik harus diambil sebelum sijalut itu mengamuk dan keluar dari berek tersebut. Den mencadangkan agar2Lt Min masuk semula dan cuba bercakap dengan si jalut . Tujuannya adalah untuk mengalih pandangan Jalut, dan dalam masa yang sama Den dan Kapt Man akan masuk mengikut pintu belakang,secara senyap-senyap dan jika keadaan mengizinkan Den akan menangkap sijalut dari belakang. Dan pada waktu itu Den mahu anggota lain turut membantu Den untuk menangkap si jalut. Sasaran utama Den adalah merampas parang ditangan si jalut, jika ini berjaya, maka yang lain dikehendaki terus menyerbu ke arah jalut .Secara umumnya rancangan Den dipersetujui oleh Kapt Man tetapi beliau berkata dia tak mahu melibatkan diri dan dia menyuruh Kpl Samad mengikuti Den.

Kira-kira sepuluh minit kemudian, Den dan Kpl Samad bergerak ke pintu masuk satu lagi sementara 2Lt Min masuk dari pintu hadapan. Den dengar  Jalut dan 2Lt Min sedang berlawan cakap,tetapi kali ini bunyi suara 2Lt Min tidak lah segagah dan sekuat jika dibandingkan dengan yang mula-mula tadi. Den mengambil kesempatan itu untuk bergerak secara perlahan dari arah belakang. Setelah agak dekat, Den terus menyerbu Jalut dari belakang dengan tumpuan diberi kepada tangan yang memegang parang, dalam masa yang sama Kpl Samat telah menangkap kaki  Jalut dan cuba menjatuhkannya, Den berjaya memulas tangan   Jalut sehingga dia melepaskan parang tersebut, dalam masa yang sama 2Lt Min dan beberapa anggota komando lain telah menyerbu dan membantu untuk menahan Jalut. Pergelutan tersebut berlaku terlalu pantas dan dalam masa beberapa saat kemudian kami berjaya “memberkas” Jalut. Tangan Jalut digari dan kemudiannya dia di bawa ke balai pengawal. Malam itu Jalut telah ditahan dan tidur di balai pengawal sehingga dia pulih pada keesokannya.


Setelah selesai, kami bertiga balik ke Mes. Semasa di dalam perjalanan kami bertiga tergelak besar bila mengingatkan bagaimana kami boleh berlari sepantas kilat dan melompat keluar dari tingkap semasa di kejar oleh Jalut. Pada keesokannya seperti yang dijangkakan , peristiwa Jalut mengamuk itu menjadi isu hangat di kem sungai undang, dan nama kami bertiga pun memang menjadi sebutan hangat juga , bukan kerana kami berjaya menangkap Jalut tetapi kerana “KEPANTASAN KAMI MENYELAMATKAN DIRI” akibat dikejar oleh Jalut.