Tuesday, 31 May 2011

Cari [Ubi] Kayu...Cari [Ubi] Kayu.

2 Disember 1989 adalah merupakan tarikh di mana Perjanjian Hatyai ditandatangani oleh Parti Komunis Malaya (PKM), Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand. Seluruh dunia menyaksikan upacara menandatangani pendamaian itu dan sejak perdamaian tersebut, memang tidak ada persengketaan bersenjata antara dua puak ini. Boleh dikatakan semenjak perjanjian tersebut dimeterai, tiada lagi ancaman komunis secara “kekerasan” yang berlaku. Pendek kata, perjuangan menentang komunis dengan menggunakan senjata telah selesai. Peristiwa itu telah menjadi  satu simbol kejayaan Malaysia di dalam memerangi ancaman anasir komunis. Walau bagaimanapun ini bukan lah bermakna ATM telah mengundurkan  semua askar-askar yang bertugas di perbatasan sempadan . Walaupun secara rasminya ancaman komunis telah berakhir, tetapi usaha untuk menjaga keselamatan perbatasan sempadan masih lagi diteruskan .

Walaupun sejak perjanjian tersebut di meterai, tiada lagi ancaman komunis, tetapi  operasi operasi di perbatasan masih lagi dianggap bahaya kerana masih terdapat ancaman jerangkap samar (booty trap) yang telah dipasang dan ditinggalkan oleh pihak PKM atau pihak tertentu. Ada di antara jerangkap samar tersebut yang masih aktif lagi dan ada juga yang telah tidak aktif. Justeru itu, pada tempoh tersebut, kebanyakan operasi-operasi yang dilaksanakan oleh pihak ATM adalah berkaitan dengan usaha untuk mencari, mengesan dan memusnahkan jerangkap samar yang masih lagi banyak terdapat di persempadanan Negara.

Pada awal tahun 1990, unit Den telah diarahkan untuk melaksanakan operasi pembersihan kawasan jerangkap samar yang terletak di sempadan Malaysia –Thailand. Misi kami kali ini adalah lebih spesifik dan kawasan operasi kami adalah tertumpu di kawasan “…talipinggang..naga”, (Naga Belt) di sepanjang Sempadan Malaysia Thailand, yang mana kawasan tersebut di percayai mempunyai kepadatan “jerangkap samar” yang paling tinggi sekali. Kami juga telah di beri maklumat tentang kedudukan beberapa kawasan yang dipercayai mempunyai banyak jerangkap samar. Selain dari itu , sebagai persediaan, kami telah di beri taklimat khas berkaitan dengan tanda-tanda yang mungkin boleh dikenali untuk menunjukkan bahawa sama ada atau sebarang jerangkap samar yang telah dipasang oleh pihak PKM di kawasan tersebut.

Kami juga telah membuat latihan berterusan berkaitan dengan prosedur-prosedur “meneutralkan” jerangkap samar. Dari segi teorinya perkara tersebut amatlah mudah,tetapi bila melaksanakannya, ia memerlukan kesabaran yang tinggi, ketenangan dan memerlukan pengamatan dan pemerhatian yang tajam kerana jika berlaku kesilapan, tidak ada istilah “ semula” atau “di lain kali”, kerana ia pasti akan menyebabkan kecederaan dan boleh hingga menyebabkan kematian.

Setelah semua persiapan dilaksanakan dengan sewajarnya, maka kami pun bergerak ke kawasan operasi di sekitar  kawasan Banding dengan menaiki kenderaan tentera. Jarak perjalanan yang agak jauh dari Kem Sungai Udang dan ia memakan masa hampir 8 jam , kerana kami bergerak di dalam konvoi. Perjalanan tersebut amat meletihkan walau bagaimanapun semangat Den masa tu agak tinggi kerana ingin melaksanakan operasi yang di anggap bahaya pada waktu tersebut. Setelah tiba di Kem Banding, kami bermalam selama dua hari , sebelum kami di atur gerakkan ke kawasan operasi sebenar di kawasan bersempadan Thailand- Malaysia dengan menaik helikopter nuri.

Kami memasuki kawasan tanggungjawab operasi kira-kira jam 0900 pagi dan lebih kurang 45 kemudian, tim Den, telah diturunkan di sebuah LP lama di kawasan bukit Ulu Laho. Sebaik sahaja selamat diturunkan di LP tersebut, Den telah mengarahkan dua anggota Den untuk membuat pembersihan, rondaan di bahagia barat dan Den dan Pbt Lokman di kawasan timur. Kami bertemu semula kira-kira 45 minit kemudian di kawasan LP tersebut. Den telah mengarahkan tim Den untuk berehat dan bermalam di kawasan tersebut, sambil Den membuat perancangan untuk melaksanakan rondaan pembersihan pada esok paginya.  Malam itu, Den tidak dapat tidur lena, kerana memikirkan penugasan yang akan tim laksanakan untuk tempoh 3 bulan berikutnya

Walau pun dari segi mental dan fizikalnya kami dah bersedia untuk melaksanakan operasi tersebut, tetapi jauh di sudut hati Den, masa ada kerisauan dan kebimbangan kalau-kalau kami gagal melaksanakannya dengan sempurna. Walaupun ancaman komunis mungkin telah tiada langsung, tetapi penugasan untuk membersihkan jerangkap samar tersebut tidak boleh di anggap mudah kerana ia masih mempunyai risiko yang tinggi jika jerangkap samar yang dijumpai tersebut masih lagi aktif.  Kerisauan Den berasaskan kepada jumlah booby trap “chap ayam”, yang telah memang kami ketahui jumlahnya yang dianggarkan di pasang di kawasan “ Naga Belt” tersebut. Usaha pembersihan tersebut turut juga  melibatkan pembersihan jerangkap samar yang “dikilang” yang mana ia dipercayai dibuat oleh pihak tertentu bertujuan untuk  mengganggu pergerakan PKM dan jerangkap samar yang dibuat sendiri oleh pihak PKM atau Den panggil jerangkap samar “chap ayam”.

Pagi itu, tim Den telah bersiap awal dan setelah  memberi taklimat pergerakan dengan penuh terperinci.  Kami mula bergerak menuruni bukit Ulu Laho dan menuju ke kawasan yang dikenali sebagai Naga Belt . Semasa di  dalam perjalanan kami amat berhati-hati dan penuh dengan taktikal. Kami mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskan jarak satu petak peta (lebih kurang 1km). Pada petang itu kami berhenti berlabuh di kawasan berhampiran anak Sg Ulu Laho . Sepanjang rondaan kami pada hari tersebut tidak menghasilkan apa-apa perjumpaan. Semasa menghantar laporan keadaan ke Mk Tek pada petang itu, kami ada menerima berita bahawa salah satu dari Tim yang di aturgerakkan telah menjumpai 5 buah (butir) jerangkap samar chap ayam. Dari maklumat yang kami terima  hanya satu dari 5 buah jerangkap samar yang dijumpai itu masih aktif dan lain  sudah tidak aktif lagi disebabkan bateri yg digunakan telah luput kuasa. Den dapat mendengar betapa gembira dan bangganya ketua tim rondaan tersebut  bila menghantar berita perjumpaan mereka ke Markas Tek. Bila tiba masa tim Den menghantar laporan, Den dengar Pbt Lokman menghantar berita ke Mk Tek, dan berkata para 7,( Laporan Perjumpaan ), bahawa  :... Para 7 : TIADA ...Den rasa macam tak sedap hati dengan laporan tersebut.

Setelah hampir 6 hari tim membuat rondaan, akhirnya , salah seorang dari tim Den, Tpr Lokman, yang bertindak sebagai recce man (anggota paling hadapan : peninjau )  telah memberi isyarat senyap supaya kami berhenti. Sebaik sahaja menerima isyarat tersebut, semua anggota yang  berhenti dan mencari tempat perlindungan. Semasa itu Den yang berada di belakang beliau terus bergerak ke hadapan dan menghampiri Lokman. Den bertanya “..Man, ada apa..?”. Lokman menjawab “..Tuan, tengok tanda pangkah tu ?.sambil Lokman menunjukkan tanda pangkah yang dibuat setinggi  kira-kira 4 kaki di atas sebatang pokok. Den terus mengamati tanda tersebut, dan mengikut ilmu yg telah diajar , itu kemungkinan tanda bahawa kawasan tersebut mempunyai jerangkap samar Chap ayam yang dipasang oleh PKM.

Den terus memberi arahan supaya anggota bergerak dengan berhati-hati dan berkumpul di tempat Den. Setelah semuanya ada, Den meminta Color Radi membantu Den membuat “search” di kawasan bawah pokok yang bertanda X tersebut.  Pergerakan kami berdua amat berhati-hati, Den pun mengeluarkan pisau komando Den dan mula membuat “prodding” (mencungkil tanah secara perlahan-lahan untuk mengesan sama ada ada wayer, booby trap atau sebagainya.) Den bergerak di dalam keadaan posisi merangkak, bila Den rasakan pisau Den tercucuk sesuatu , seperti wayer atau akar kayu, Den akan meniarap dan akan membuat prodding  dengan lebih berhati-hati...jika selamat Den akan terus bergerak secara merangkak semula dan memulakan prodding semula...Hampir 30 kemudian, Den menjumpai apa yang dicari,pisau Den telah terkais dengan satu pasang  wayer berwarna hitam  merah . Den terus memberi isyarat kepada Color Radi, bahawa Den telah menjumpai sesuatu dan mengarahkan nya untuk mengambil perlindungan, sebelum Den boleh meneruskan untuk “meneutralkan” jerangkap samar tersebut.

Setelah semua anggota lain selamat dan  mengambil perlindungan,Den pun terus mengeluarkan wayer tersebut dari tanah, dan menggunakan wayer cutter memotong salah satu dari wayer tersebut. Kemudiannya Den terus menarik secara perlahan-lahan wayer tersebut keluar dari tanah hingga Den sampai di suatu tempat di mana jerangkap samar  “chap ayam”,ditanam, berhampiran di tepi banir pokok bersebelahan dengan pokok yang bertanda X. Setelah berjaya meneutralkannya, Den terus mengeluarkan jerangkap samar yang dibuat dengan menggunakan tin milo 500 gram itu, bahagia atas mulut tin milo itu, diletakkan minyak tar yg sudah kering, dan apabila dikeluarkan bahan yang berada di dalam tin milo dan Den dapati terdapat banyak paku berukuran  6” dan bercampur dengan bahan yang Den rasa C4. Den menganggarkan bahawa sebenarnya booby trap tersebut tidak aktif lagi memandangkan keadaan baterinya yg telah berkarat. Petang tu Den sendiri menghantar laporan ke Mk Tek berkaitan dengan perjumpaan tersebut. Masa tu , perasaan megah Den macam susah nak dikawal. Den bangga ada, seronok ada...maklumlah baru pertama kali terjumpa dengan booby trap yang  ori walaupun ia chap ayam.

Hari-hari berikutnya kami menjumpai lebih banyak lagi booby trap, di kawasan tersebut ada beberapa jenis chapo ayam dan yang banyak sekali jenis di kilang. Pada masa itu Den yakin bahawa tim Den telah berada di kawasan Naga Belt.  Disebabkan kebanyakan dari booby trap yang telah dijumpai itu hampir 99% telah luput atau tidak aktif lagi, maka Tim Den dah mula “leka dan tidak melaksanakan kawat-kawat yang sebenarnya”...Ini adalah kerana kami yakin bahawa semua booby trap yang kami jumpai pada dasarnya telah  “tidak aktif” dan jika kawat-kawat sebenarnya dibuat ia akan mengambil masa yang lama dan amat memenatkan. Den dan tim Den bernasib baik, kealpaan, kecuaian dan kemalasan kami pada waktu tersebut tidak berakhir dengan sebarang tragedi yang tidak diingini. Perkara tersebut terjadi adalah kerana sikap Den sendiri yang pada waktu itu dah mula “gah dengan perjumpaan kami dan tidak menitikberatkan isu-isu keselamatan.

Apa-apa pun Den  bersyukur kerana tiada apa yang berlaku walaupun pada waktu itu kami telah mula cuai di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kami. Maklumlah masa tu hati muda....mudah aje terpesong. Dan di akhir-akhir  penugasan kami, bila kami terjumpa aje, booby trap , kami terus menarik keluar benda itu seperti kami menarik keluar ubi kayu di kebun sambil bersorak, siapa mahu makan ini ubi kayu ..! tanpa memikirkan sebarang risiko. Kalau ada di antara booby trap yang kami tarik keluar itu masih aktif lagi, Den pasti , kalau tak Den mesti ada di kalangan tim Den akan mengalami kecederaan atau mungkin boleh membawa maut...Apa-apa pun Den bersyukur kerana tiada sebarang bencana yang berlaku walaupun kami menarik keluar booby trap tersebut seperti mencabut ubi kayu..kerana ia semuanya sudah tidak aktif lagi. Diakhir tempoh tiga bulan Den menjalani operasi itu, kami berjaya menjumpai hapir 65 buah jerangkap samar yang smeuanya dikategorikan telah tidak aktif lagi...walau bagaimana pun Den tetap seronok dan bangga kerana berpeluang dan diberi tugas untuk membersihkan kawasan tersebut..