Saturday, 30 April 2011

Siri 11: How Long is Longggggggggggg..March!

Masa terus berlalu, badan Den dah bertambah kurus,tulang rangka dah mula menimbulkan dirinya.Tempuh masa peringkat kem dah sampai kat penghujungnya. Dari jumlah 175 orang yg mula-mula ada dalam Kump A, kurusus AK nie, cuma dah tinggal 120 lebih. Yang lainya dah banyak yg gugur ..atas bermacam-macam sebab. Siswa yang dulunya ada 5 kini dah tinggal 2 orang dan dalam kump B ada 3 orang lagi...yang lainnya semua dah kecundang..Den masih bernasib lagi kerana terselamat sampai tahap kini..Semasa hari terakhir kami nak meninggalkan kem dan bergerak ke kawasan latihan seterusnya, diadakan satu majlis..perpisahan...bukan majlis yg macam biasa-biasa tu, majlis nie lain sikit..kami akan berbaris dan kemudiannya akan membawa pack pasir 10 kg yg selama ini menjadi beban dalam pack kami dan mencampaknya kat satu tempat yg telah dikhaskan. Masa tu kami akan nyanyi lagu 'bertemu dan berpisah"...sambil slow march sehingga ketempak pembuangan . Lepas dari acara tu , kami pun bergerak menaiki kenderaan menuju destinasi seterusnya...di kawasan lapangan sasar untuk latihan peluru hidup yang jarakny lebih kurang 60 km dari Betutu....

Kami sampai pada waktu hari telah gelap, seperti biasa selepas makan, kami terlibat dengan acara-acara tambahan  yang diadakan diwaktu malam sekiranya tiada latihan yang dibuat. Pada masa ini kami tidur di satu kawasan lapang dengan bertilamkan tanah dan berbumbungkan langit..Sebelum terlelap sempat juga Den melihat keindahan langit diwaktu malam dengan ditaburi oleh bintang-bintang....sambil mengenangkan nasib, tahap pertama Den dah berjaya, apakah Den akan berjaya untuk mengharungi tahap seterusnya...hanya tuhan saja yang tahu....Malam itu kami tidur dengan bertemankan agas dan nyamuk...dan menjelang paginya kami basah sebab berembun....

Kira-kira 5 hari kami berada di kawasan lapangan sasar tersebut. lima hari itulah kami tidur dikawasan lapang, kami kepanasan macam cacing di siang hari dan kami kesejukan di malam hari kerana bermandikan embun. Latihan yang dilaksanakan semasa di sana semuanya menggunakan peluru hidup..Latihan agak bahaya kerana sepanjang latihan kami sentiasa bermain dengan peluru hidup. Kami berlari di kawasan yang telah di pasang bom, dan di turuti dengan tembakan GPMG yang hanya 2 kaki di atas kepala. Pendek kata masa tu memang hebat, kalah filem perang melayu...maklumlah semunya peluru hidup...yang tak hidup hanya sasaran dihadapan dan ada juga anggota AK yang hidup ..tapi tak boleh nak bergerak..sebab panik, takut...dan mereka-mereka ini sudah dijanjikan dengan tiket untuk keluar kursus sebaik sahaja latihan tersebut tamat. .Kami terpaksa berhati-hati sebab selain tembakan GPMG secara berteruskan yang dilepaskan 2 kaki diatas kepala kami, terdapat juga bom-bom yang dipasang di tempat-tempat yang telah ditandakan...selain dari itu kami juga berhati-hati kerana senapang yang kami guna juga mempunyai peluru hidup....Di akhir latihan lebih kurang 17 anggota AK telah dikeluarkan dari kursus kerana 'tidak berkemampuan untuk berfikir dan bertindak dengan penuh keyakinan semasa berada di dalam situasi "pertempuran"dan juga atas sebab-sebab keselamatan. 

Keesokkannya bermula satu latihan yang mencabar di dalam kursus AK., iaitu "long march". Latihan ini adalah satu-satunya latihan yang tidak ada sebarang paksaan dari pihak jurulatih.Sementara itu sekiranya anggota tidak mahu mengikut latihan ini, ia adalah dibenarkan dan sebaik sahaja dia keluar dari latihan ini, ia akan diberikan ganjaran  dengan penuh kemewahan..makanan, minuman, dan rehat yang secukupnya.  Semasa latihan long march nie, kami dikehendaki berjalan kaki dengan membawa 'complete FSMO, ration untuk 14 hari, senjata dan segala kelengkapan perang individu. in menjadikan purata pack kami antara 35-40 kilo. Kami di kehendaki berjalan sejauh hampir 120 batu (mengikut kiraan atas peta- kalau sebenarnya hampir 200 batu) dalam masa 3 hari dua malam. Perjalanan akan mengikut leg (tahap) tertentu.Kami akan berhenti untuk makan selama 1 jam dan tidur selama 4 jam . Sekiranya kami lambat sampai di checkpoint dimana kami sampai, kami akan kerugian masa untuk memasak dan makan sebab, selepas satu jam, semua anggota mesti teruskan pergerakan.

Perjalanan kami bermula dengan pendakian Gunung Ledang,dan bermula pada waktu pagi,. Semasa berhenti rehat untuk makan di puncak Ledang, Den dimaklumkan sudah lebih 10 anggota tarik diri, sebab semasa itu cuaca agak panas dan ramai yang tidak berpeluang untuk memasak tengahari dan makan, kerana lambat sampai, jadi mereka-mereka ini yang tidak dapat rehat dan makan dengan secukupnya merasa tidak yakin boleh meneruskan perjalanan seterusnya, yang pada masa itu masih jauhhhhhhhhhhhh lagi untuk kegarisan penamat. Keadaan menjadi lebih teruk lagi, apabila  kami melalui jalan raya, kerana pada masa tersebut, sebuat trak 3 ton dikhaskan untuk membuat siaran propaganda, memujuk anggota-anggota AK untuk berhenti dari meneruskan perjalanan dan menaiki kenderaan tersebut. Diatas kenderaan tersebut telah ada beberapa anggota AK yang telah keluar kursus, memujuk dan memanggil-manggil  kami untuk menikmati makanan dan minuman "coke sejuk" dari atas kenderaan. Mana-mana anggota yang tak tahan godaan akan terus menaiki kenderaan tersebut..dan secara otomatik akan terkeluar dari kursus.

Setiap kali kenderaan propaganda itu melintas dihadapan Den akan tunduk dan menyanyi kuat-kuat, agar Den tidak dengar apa yang  anggota tanggo (anggota yg dah turun kursus ) cuba rayu dan pujuk untuk mengikut mereka. Den pun tak akan pandang mereka, kerana, Den sendiri takut tergoda dengan kenikmatan yang dijanjikan. Seseungguhnya latihan ini benar-benar mencabar kekuatan fizikal dan mental para anggota kursus. Kebanyakkan dari mereka yang gagal di masa latihan ini adalah disebabkan "ketiadaan tenaga"  kerana kekurangan makanan, sebab bila sampai di checkpoint untuk makan, mereka keletihan dan dan tidak sempat untuk memasak...kerana makanan yang dibekalkan adalah semuanya rangsum kering yang perlu dimasak. Bila dah penat dan masa pula suntuk, memang tak masaklaa jawabnya..akhirnya, walaupun hati kata boleh lagi...tapi badan dah tak leh nak pi...tu yang gugur ditengah jalan tu.

Den bernasib baik, kerana Den amalkan petua-petua yang diberikan oleh senior Den tentang bagaimana nak lulus latihan 'long march' nie . Pertamanya, persiapan minyak bawang (minyak masak + bawang putih), Den akan sapu kat tapak kaki setiap kali berada di check point,keduanya, bila sampai aje kat check point, masak air panas dahulu dan buat air gula, minum seberapa banyak yang mampu dan kemudiannya, minum air putih sebanyak yang mampu semasa perjalanan, jangan dok nak masak nasi aje , sebab selalunya bila nasi dah masak tak sempat nak makan...jadi nasi tu boleh dibuat bekalan dan makan sambil berjalan, tetapi tenaga dari air gula akan memastikan kita mempunyai tenaga yang  berterusan . Satu lagi, semasa berjalan, jalan dengan hati yang tenang dan jangan timbul sebarang persoalan tentang berapa jauh lagikah check point, boleh ke aku sampai dan sebagainya..soal-soalan tersebut akan mengganggu konsentrasi kita untuk meneruskan perjalanan. dan yang satu jangan pandang pada  trak propaganda dan kuncu-kuncu yang berada didalamnya..kerana ia amat bahaya...ramai yang kecundang kerana tidak tahan godaan, nak -nak lagi kalau ada diantara tanggo tu kawan  anda..lagi tinggi kebarangkaliannya anda nak mengikuti 'tim propaganda tu"...oleh itu semasa berjalan selalulah tunduk dan tawaaduk, seolah -olah insaf...dan cuba bercakap seorang diri (bercakap ..bukan berfikir) dan bak kata Arumugam dalam lagunya..."bayangkanlaa..yang indah-indah ...."Dan yang akhir sekali sebagai satu bonus...kalau anda berkemampuan untuk tidur sambil berjalan..tetapi ia hanya boleh dibuat secara buddy-buddy sistem....anda tidur sambil memeng pack buddy anda , buddy anda akan menjadi guide anda sementara anda tidur, tapi jangan sampai buddy pun tidur...alamatnya kedua-dua akan menempah bahaya.

Diakhir perjalanan Den untuk menamatkan latihan tersebut, kira-kira 10 km dari garisan penamat, jurulatih telah memberi kata-kata perangsang kepada Den dan tiga rakan Den yang lain....Den macam tak percaya masa tu kerana Den berempat adalah kumpulan pertama yang akan sampai di garisan penamat. Masa tu semangat memang tinggi, tapi Den tetap kekalkan 'rentak perjalanan Den, sebab bagi Den 10 km kalau kata jurulatih tu Den tak percaya...kerana pada analisa Den tempat penamat tu mesti dah terlalu dekat dalam 2-3 km atau masih ada lebihkurang 20 km lagi...Sebab Den dah masak dengan perangai jurulatih Den ini. Ada kemungkian yang jurulatih kata 10 km sebenarnya dalam 2-3 km sahaja , jadi kalau lemah semangat, mungkin akan tarik diri....tapi  ada juga kemungkianan yang sebenarnya masih jauh ;lagi, tapi  nak bagi semangat supaya  kami meneruskan perjalanan. Apa pun Den tak nak termakan dengan kata-kata jurulatih tu, Den kekalkan tempo Den, manakala 3 lagi rakan Den, menjerit kegembiraan  bila mendengar kata-kata jurulatih tersebut..dan berjalan dnegan lebih laju meninggalkan Den ...Masa tu  jam dalam pukul 9:00 malam, Den pandang belakang tak kedengaran sebarang suara lain, maksudnya kumpulan yang belakang Den masih jauh lagi..dan dihadapan Den 3 orang rakan Den meneruskan perjalanan dengan pantas sekali hingga Den dah tak dengar atau nampak kelibat mereka..Den meneruskan perjalanan di dalam ladang kelapa sawit itu secara solo dan terus mendendangkan lagu kegemaran....pada masa tu......nanyian Alleycats......Andainya ku Pergi Dulu....

Akhirnya..telaan Den benar belaka, perjalanan kegarisan penamat yang dikatakan hanya 10 km sahaja sebenarnya adalah lebih kurang 35 km, ..Bila sampai digarisan penamat, Den adalah orang yang ketiga sampai. Den bertanya kepada rakan Den , mana perginya Siswa Salam, jawab kawan Den, dia terjatuh dalam lokang ditepi lorong kelapa sawit, mereka tak dapat nak menolong kerana masing-masing dalam keadaan kepenatan yang melampau dan Siswa Salem telah give up dan nak minta naik "trak propaganda". Den sempat jumpa Salam di kawasan penamat pada pagi kesokkannya. Dia kata pada Deb "Sorry laa Kuat (nick name den masa tu), aku tak dapat nak teruskan, selepas jatuh kaki aku bengkak dan tak boleh nak berjalan, sebab tu aku naik trak tanggo.". Den kata  tak apalah, nie masuk kali ke 3 kau dah gagal, untuk kali keempat nanti mungkin aku akan joint kau sekali lagi" kata Den....secara bergurau...

Pada perbarisan pagi itu, kami tiada sebarang aktiviti latihan, kami dibenarkan berehat dan membuat pentadbiran sendiri di kawasan hutan tersebut sebelum kami memasuk fasa Latihan hutan. Semasa perbarisan itu kumpulan AK A dan B telah bergabung. Dari 180 yang mula-mula mengikuti latihan tersebut di dalam kumpulan A, kini kami hanya tinggal 78 orang sahaja dan kumpulan  B yang jumlahnya pun hampir sama, kini tinggal dalam 86 orang sahaja. Ramai yang gugur di peringkat long march ini bukan kerana mereka tidak bersedia dari segi fizikal tetapi kebanyakan mereka tidak bersedia dari segi mental...dan tak tahu how long is long march...so mereka tiada membuat persediaan mental yan gsecukupnya. .Disini baru Den perasaan bahawa latihan komando bukan mementingkan latihan dari segi fizikal sahaja, malah ia turut mengambil kira dari segi mental..."Masa tu kata-kata semangat yang sentiasa membuat Den bersedia mengharungi latihan AK tu adalah ...."Kekuatan Mental Mengatasi segala-galanya.."....itu yang menjadi perangsang untuk Den terus mengharungi kursus AK tersebut...Dan pada hari itu adalah hari kami berpesta, menghabiskan segala ration yang dibawa, sebelum menjelang esok, kerana kami akan memasuki fasa "jungle survival".....where "no outside food allowed...!"